Click Here For Free Blog Templates!!!
Blogaholic Designs

Pages

Sunday 13 March 2016

MENCARI TITIK PERTEMUAN.


                               


                                       

Mencari Titik Pertemuan 
Kefahaman dan tingkah laku beragama boleh memisah atau membina hubungan sesama penganut dalam sesuatu agama atau dengan penganut- penganut agama lain. Kemampuan agama dalam membina ikatan dan hubungan merentas individu dan kumpulan agama yang berlainan adalah potensi yang perlu diteliti dan perhalusi. Oleh itu, kepekaan kepada ruang sosial sedia ada amat diperlukan bagi memungkinkan peluang membawa penganut pelbagai agama bergerak ke arah persefahaman. Potensi ini harus digarap dengan berhati-hati dan berhemah agar individu dan kelompok agama yang berlainan dapat menemui satu titik pertemuan yang membolehkan hubungan mereka dijalin erat. 
Shamsul (2011) melihat agama dari sudut tafsiran autoriti akan memisah dan mengasingkan penganut pelbagai agama terutama sekali apabila agama itu telah diideologi dan dipolitikkan. Dalam suasana agama dijadikan contestation sudah pasti dinding keagamaan yang dibina itu akan membawa ke arah ketegangan dan konflik. Di Malaysia perkara ini berlaku apabila dua insan membina rumah tangga bahagia dengan salah seorang meninggalkan agama asal dan menganut agama 
pilihan atas dasar cinta. Namun, apabila berlaku konflik dalam hubungan perkahwinan, perbezaan agama antara keluarga pasangan tersebut menimbulkan ketegangan, bukan hanya kepada keluarga pasangan terbabit, malah juga kepada komuniti yang lebih besar. Perkara ini dapat dielak sekiranya perhubungan tersebut diurus dengan cara yang penuh hikmah. 
Namun, di sebalik konflik yang berlaku yang dikaitkan dengan agama, kesemua agama memiliki nilai kesejagatan yang berpotensi untuk membina keharmonian kehidupan bermasyarakat, kestabilan dan kemajuan. Perubahan yang drastik dalam kehidupan moden terutamanya dalam bidang teknologi pengangkutan menyebabkan berlaku penghijrahan dari satu tempat ke tempat lain di setiap penjuru dunia pada hari ini. Ia mengakibatkan hampir tidak wujud lagi masyarakat yang hanya mempunyai satu agama, malah sifat masyarakat rata-ratanya adalah pelbagai agama. Mereka berada dalam persekitaran sosial yang menyebabkan mereka bertemu, berhubungan, bekerja dan tinggal bersama dengan penganut pelbagai agama. 
Interaksi antara mereka mampu membina ikatan sosial yang kuat dengan perbezaan agama anutan. Contohnya ketika berlaku malapetaka seperti banjir, ahli-ahli persatuan Buddha menghulurkan bantuan beras kepada orang beragama Islam. Begitu juga seorang yang menganut animisme membantu jiran beragama Sikh untuk membersihkan rumahnya yang telah ditenggelami banjir. Malahan, pemerhatian dalam masyarakat mendapati perayaan agama dan kebudayaan seperti Hari Raya, Hari Tahun Baru Cina, Deepavali, Keamatan, Gawai Dayak dan Hari Krismas masing-masing telah dikongsi dan raikan bersama dan bazaar Ramadan dinanti-nantikan oleh penganut agama lain. 
Dalam konteks perbezaan amalan beragama, masih banyak ruang nilai kemanusiaan yang boleh dikongsi bersama dan mampu mengikat individu dan kumpulan yang berbeza agama ini untuk berhubungan sesama mereka. Nilai kesejagatan tersebut yang dikongsi bersama telah membawa rakyat Malaysia untuk memilih tindakan di atas perkiraan sosial yang rasional dan dihajati bersama iaitu keharmonian, kedamaian, kekayaan, kemuliaan dan kebaikan. 

0 comments:

Post a Comment